RAMADHAN KE SYAWAL
Kaab bin Ujrah menceritakan suatu kisah menarik daripada Rasulullah SAW di mana baginda bersabda: Hampiri mimbar! Lalu kami semua menurutinya, ketika baginda melangkah ke tangga yang pertama baginda mengatakan: Amin. Apabila baginda melangkah tangga yang kedua baginda mengatakan: Amin, begitulah apabila baginda melangkah tangga yang ketiga. Lalu kami bertanyakan tentang maksud perbuatannya itu, baginda menjawab: Aku didatangi Jibrail a.s mengatakan kepadaku: Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan. Aku pun menyahut dengan berkata: Amin. Di tangga yang kedua Jibrail mengatakan: Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu, aku pun menyahut: Amin. Di tangga yang ketiga Jibrail mengatakan: Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur atau salah seorang mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Aku pun mengatakan: Amin. (Sumber:
Senarai Hadith, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
"Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan." --- Apakah yang kita rasa? Maksud hadis ini menggetarkan perasaan dan menyentap jiwa. Dalam keghairahan kita menyambut Syawal, tidak seharusnya kita lupa akan pemergian Ramadan.
Benar, kita hamba Allah, bukannya hamba Ramadan. Tetapi, tidak dapat dinafikan yang kita menggandakan amal kita sebanyak yang mungkin pada bulan ini. Sesuatu yang jarang berlaku di sebelas bulan lainnya. Bulan ini seharusnya menjadi pencetus dan jalan kepada amalan-amalan kita pada masa hadapan. Ramadan adalah suatu 'proses' .
Proses apa yang saya maksudkan?
Proses mentarbiyah diri sendiri.
Jika dulu tidak pandang Al-Quran, mungkin kini sudah mula baca satu muka surat.
Jika dulu hanya sekadar membaca, mungkin kini sudah mula baca terjemahannya.
Jika dulu hanya sekadar menunaikan solat wajib, mungkin kini sudah mula mendirikan yang sunat.
Dan proses itu terus berjalan dan berjalan. Yang penting, komitmen dan istiqamah. Itu yang payah, tetapi usahalah untuk mencuba.
Dan harapan kita semua, proses itu tidak terhenti setakat itu sahaja, biar ia berkekalan sehingga ke penghujung nyawa. Mudah-mudahan.
Apakah harapan kita pada Ramadan? Saya rasa ramai yang inginkan pengampunan daripada Allah Taala, Tuhan yang Maha Penyayang dan Maha Pengampun.
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu."
Insya-Allah, sama-sama kita doakan.
Dan, dalam kemeriahan kita menyambut Syawal juga, seharusnya tidak ada alasan untuk kita lupa kepada saudara seakidah kita di Palestin, Syria dan Rohingnya. Kita beraya dalam kemewahan, mereka beraya dalam kesusahan. Mari bersikap peduli. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Titipkan doa untuk mereka. Kita umat bersatu!
Raya tahun ini, sambutlah dengan sederhana. Yakni tidak melampau. Jangan disebabkan satu hari, rosak amalan kita yang dibina 30 hari sebelumnya. Yang penting, kelangsungan amal kita yang kita bina pada Ramadan lalu. Usahalah supaya ia berkekalan.
Semoga kita sentiasa istiqamah di jalanNya. Insya-Allah. Amin.